RTM Sabah kenal pasti bakat baharu kalangan kakitangannya

SEMPORNA: Kelab Sukan dan Kebajikan RTM mengenalpasti beberapa program sukan terutama kejohanan liga bola sepak untuk  disertai di masa depan.

Pengurus Pasukan Bola Sepak RTM Sabah, Nika Andy Anthony berkata, dalam tempoh terdekat pihaknya bercadang akan menganjurkan program liga antara unit bagi mencungkil bakat baru dalam kalangan kakitangannya.

Adam dalam temubual bersama krew Berita RTM Sabah.

Katanya, dalam kejohanan itu nanti pihaknya boleh melihat beberapa bakat kalangan pegawai baharu yang boleh diserapkan dalam pasukan bola sepak RTM Sabah.

“Kita yakin dapat melahirkan bakat baharu dalam kalangan pegawai serta kakitangan yang sedia ada di RTM Sabah.

Kedua-dua pasukan bergambar kenangan sebelum perlawanan bermula.

“Ini berikutan kebenaran kelonggan dalam menganjurkan beberapa kejohanan daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu kalangan pemain RTM Sabah menentang Arah Impian FC Semporna sempena Pesta Reggata Lepa di sini baru-baru ini.

Nika berkata, setakat ini pasukan Bola Sepak RTM Sabah mengalami kekurangan pemain berikutan terdapat beberapa pertukaran pegawai di jabatan lain.

“Kita yakin bakat baharu nanti boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan mereka sekali gus memudahkan pasukan merancang kejohanan yang akan disertai di masa depan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Bola Sepak Semporna, Adam Syah Mohammad berkata, peluang bertemu dalam perlawanan persahabatan bersama RTM Sabah dilihat mampu menguji barisan pemain sedia ada.

“Sambil memenangi perlawanan persahabatan ini kita juga mampu mewujudkan ruang kerjasama untuk kedua-dua pasukan di masa depan,” katanya.

“Kita sedang mengusahakan agar ada perlawanan timbal balas nanti di Kota Kinabalu sekali gus merancang mencari bakat baharu dalam kalangan pemain khususnya di daerah Semporna di masa depan,” katanya.