JIM Sabah tahan 139 warga asing dalam Ops Bersama dan Ops Sapu

KOTA KINABALU: Seramai 139 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa siri Ops Bersama bersama agensi penguat kuasa serta Ops Sapu di sekitar Kota Kinabalu.

Daripada 247 individu yang diperiksa, mereka yang ditahan terdiri daripada warga Filipina dan Vietnam yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

JIM Sabah memaklumkan, operasi berkenaan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Menurut jabatan itu, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji PATI.

JIM Sabah turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu memperkukuh penguatkuasaan undang-undang.