LABUAN : Dua pesilat wanita Labuan membawa pulang pingat emas serta gangsa pada Kejohanan Pencak Silat Dunia 2024 di Abu Dhabi Emaerah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Kedua-dua mereka bukan sahaja mengharumkan negara Malaysia, malah menjadi kebanggaan rakyat di pulau bebas cukai ini.
Presiden Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Khairul Ghani berkata, Siti Shazwana Ajak, 32, meraih pingat emas dalam acara Putri D (60-65kg), manakala Nur Nabila Hartono meraih pingat gangsa dalam acara Putri H.
Katanya, Siti Shazwana menyumbang pingat emas kepada negara selepas menewaskan pesilat Thailand pada peringkat akhir.
“Shazwana merupakan seorang pelajar PhD dalam bidàng pengurusan awam menewaskan pesilat Vietnam pada peringkat suku akhir serta pesilat dari Indonesia di separuh akhir.
“Kemenangan dua pesilat Wanita Labuan di peringkat dunia ini membuktikan Labuan mampu melahirkan atlet silat yang bersemangat tinggi,” katanya di sini semalam.
Mohd Khairul berkata, ini termasuk mampu mencipta kemenangan pada kejohanan bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah menyerlah di peringkat antarabangsa.
“PESAKA Labuan berbangga apabila pesilatnya Hamidah Mulok lama berkecimpung dalam dunia persilatan dipilih sebagai jurulatih Skuad Silat Remaja Kebangsaan.
“Secara tidak kangsung atletnya turut mencipta pelbagai kejayaan termasuk di peringkat antarabangsa,” jelas Mohd Khairul.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Mohd Khairul berkata, Labuan dipilih menjelaskan menjadi tuan rumah pemilihan atlet silat SUKMA Wilayah pada tahun depan.
“Labuan dipilih menjadi tuan rumah Silat Tanding Terbuka Borneo dan Jemputan serta tuan rumah Silat Pantai Labuan International Sea Challenge (LISC) 2025.
“PESAKA Labuan bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Silat BIMP-EAGA 2026,” jelas Mohd Khairul.