Haram tidak berhak persoal pelantikan Tun Musa Aman sebagai TYT Sabah

KOTA KINABALU : Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) tidak berhak mempersoalkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah Ke-11.

Bekas Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (Rela) Negeri Sabah, Datuk Jerry  Ambuting Mohd Said berkata, Haram diingatkan agar tidak mencampuri urusan di Sabah, terutama menyokong gerakan  mahasiswa merancang mengadakan perhimpunan pada 31 Disember ini.

Katanya, Haram berpangkalan di Semenanjung Malaysia tidak perlu sibuk mencampuri urusan di negeri Sabah.

“Apa hak Haram hendak persoalan pelantikan Musa sebagai TYT Sabah? Semua ini dibuat berdasarkan Perlembagaan Negeri.

“Haram sepatutnya membaca dan fahami Perlembagaan Sabah sebelum mengeluarkan kenyataan mempersoalkan pelantikan Musa yang atas perkenan Yang di-Pertuan Agong”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jerry berkata, Haram tidak mempunyai locus standi mempersoalkan pelantikan Musa kerana Perkara 1(1) Perlembagaan Sabah menyatakan Yang Dipertua Negeri Sabah dilantik mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong, selepas mendapat nasihat daripada Ketua Menteri.

“Siapalah Haram hendak jadi  ‘pihak yang menyibuk’ dalam urusan pelantikan TYT Sabah dan Haram juga tidak berhak hendak mempersoalkan dan mempertikaikan keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam isu ini”, tegasnya.

Jerry berkata, Musa sudah dibebaskan daripada sebarang tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada Jun 2020, ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain itu beliau juga banyak berjasa kepada Sabah.

“Haram memberi sokongan penuh kepada gerakan mahasiswa Sabah untuk berhimpun bagi menggempur rasuah di Sabah, sepatutnya turut membuat perhimpunan yang sama di Kuala Lumpur.

“Apa sumbangan Haram dan gerakan mahasiswa Sabah kepada negara amnya dan negeri Sabah khususnya,” jelas Jerry.

Menurutnya, Gerakan mahasiswa ini selain sibuk membuat perhimpunan jalanan mungkin didalangi pihak bermotifkan politik terutama parti-parti pembangkang bertujuan menjejaskan ketenteraman awam.