KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 24 warga China ke negara asal selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Sabah memaklumkan kesemua individu terbabit terdiri daripada 23 lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa yang turut disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini.
Menurut kenyataan itu, mereka merupakan sebahagian daripada tangkapan menerusi Ops Kutip, Ops Mahir dan Ops Sapu yang dijalankan di Semporna pada 21 April lalu.
Operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan terhadap 45 individu dengan 34 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen.
Kesemua tahanan terdiri daripada 33 warga China dan seorang warga Pakistan yang disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, proses pendakwaan di Mahkamah Sesyen Tawau pada 4 Mei lalu melibatkan sembilan warga China dengan enam daripada mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Peraturan 39(b).
Mahkamah membenarkan ikat jamin sebelum kes disebut semula pada 11 Jun depan.
Tiga lagi tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dikenakan denda, namun tiada jaminan diberikan bagi pertuduhan di bawah Peraturan 39(b).
JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara terus dipelihara.
