KOTA KINABALU: Bagi saya lagi banyak kesulitan dihadapi akan menambah semangat perjuangan pemain dan juga penyokong, kata Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mengenai kad merah yang diterima pada perlawanan Liga Super membabitkan Sabah FC menentang Sri Pahang FC di Kuantan Pahang, semalam.
Pengadil perlawanan Noor Azriel Baharudin mengeluarkan kad merah kepada Kim Swee pada minit ke-67.
“Tiada yang mustahil di sini (perlawanan Sabah FC dan Sri Pahang FC)..Kita tahu liga kita apa saja boleh berlaku..kita bersiap sedia hadapi apa juga kesulitan.
“Penyokong Sabah FC faham dengan adanya situasi seperti begini. Saya percaya mereka (penyokong) akan membantu pasukan apabila menentang Pulau Pinang dan pasukan lain terutamanya di Kota Kinabalu (Stadium Likas),” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan itu semalam di Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang.
Ditanya lanjut mengenai insiden kad merah itu, Kim Swee berkata perlawanan ini ada siaran langsung di televisyen jadi tanya penonton samada ia foul (pemain Sabah FC dijatuhkan oleh pemain Sri Pahang FC) atau tidak.
“Saya tidak akan jawab itu dan tengok semula rakaman perlawanan..tapi saya jelas..tanya mereka (penonton siaran langsung di astro).
“Saya tidak akan jawab kerana ini akan membuat saya dalam masalah kerana saya sudah dalam masalah,” katanya.
Mengenai perlawanan tersebut, Kim Swee menyifatkan kesilapan pemain Sabah FC yang memberikan jaringan penyamaan kepada pasukan lawan dijadikan pengajaran.
“Itu kesilapan kita dan harus belajar, dimana dalam keadaan padang yang lembut. Kesilapan mungkin akan berlaku kepada sesiapa sahaja, Saya harap ini satu pengajaran,” katanya.
Beliau juga berpuas hati dengan prestasi Jeffry Chew yang bermain di posisi baru pemain pertahanan kanan pada perlawanan malam semalam.
Bagi Kim Swee, pemain lain dalam pasukan Sabah FC mampu menggalas tugas yang diberikan.