KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee ingin mencatat keputusan cemerlang tugasan pertamanya dalam saingan Liga Malaysia menentang PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Katanya, semua pemain perlu yakin bangkit segera daripada belenggu kelalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super baru-baru ini.
“Selepas seminggu saya bersama mereka, sudah tentu kita tidak boleh mengharapkan sesuatu perubahan yang cukup besar dalam waktu terdekat, ini agak mustahil…Kita cuba berharap Sabah FC akan mampu bangkit selepas tewas dalam beberapa saingan Liga Super lalu.
“Semua pemain menunjukkan satu sikap yang cukup positif serta sanggup menerima segala perubahan yang cuba saya lakukan. Ini sudah tentu memberikan keyakinan yang amat tinggi bagi membolehkan mereka mempamerkan kualiti sebenar permainan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kota Kinabalu, hari ini.
Menurutnya, sedikit perubahan akan berlaku terutamanya daripada segi corak permainan dilakukan bagi mengadaptasi keputusan yang baik sekali gus berusaha untuk mengembalikan keyakinan penyokong kepada Sabah FC.
Mengulas mengenai pelawanan malam esok Kim Swee berkata, semua tahu pasukan PJ City FC bukan merupakan satu pasukan yang mudah untuk ditewaskan ketika mereka mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri.
“Dalam rekod perlawanan saingan Liga Super, Sabah FC tewas dua kali dengan PJ City FC. Harapan saya untuk semua pemain agar mereka membuktikan yang kita mampu bersaing dengan mana-mana pasukan sekalipun. Sudah tentu saya ingin mendapatkan keputusan yang positif pada perlawanan pertama saya bersama Sabah FC malam ini,” katanya.