KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yakin anak buahnya memantaatkan persiapan rapi selama sebulan apabila bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas dalam saingan Piala Malaysia jumaat ini.
Katanya, meskipun berhadapan dengan cabaran besar namun yakin mereka dapat mencatat keputusan yang positif pada malam tersebut.
“Dalam setiap perlawanan pasti ada kelemahan serta kekuatan, namun semua pemain Sabah FC perlu fokus agar dapat menyaingi kekuatan pasukan JDT.
“Kita akui Sabah FC mempunyai banyak kelemahan dan ada juga kekuatan…Tapi kelemahan paling ketara apabila dibolosi begitu banyak gol dalam saingan Liga Super lalu.
“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan serta kelemahan yang sama ketika bertemu JDT nanti, dalam masa sama kita percaya banyak perkara diperbaiki sepanjang tempoh rehat sebulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi latihan di padang sintetik Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.
Kim Swee berkata, ketika ini Sabah FC boleh meletakkan sasaran yang positif menentang JDT sekali gus tidak boleh membenarkan menguasai perlawanan jumaat.
“Kita perlu yakin bermain di laman sendiri merupakan salah satu kekuatan yang kita ada disamping sokongan penyokong sangat penting, lebih lagi mereka dibenarkan hadir ke stadium nanti,” katanya.