KOTA KINABALU: Dua jaringan Park Taesu membantu Sabah FC mengalahkan Penang FC 5-2 pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas Kota Kinabalu, malam ini.
Mesra dengan panggilan Karim, Ketua Pasukan Sabah FC itu membuka jaringan pertama Sabah FC pada minit ke-3 menerusi tandukan dari sepakan sudut Jailton Da Silva.
Penang FC menyamakan jaringan pada minit ke-8 menerusi Hassan Saad yang mengelirukan penjaga gol Sabah FC Khairul Fahmi.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Sabah FC kembali mendahului jaringan 2-1 menerusi Darren Lok yang menyempurnakan tendangan penalti.
Bersambung separuh masa kedua. Sabah FC kembali mengatur perlawanan dengan baik yang menghasilkan jaringan ketiga menerusi Daniel Ting selepas menerima hantaran cantik daripada Jailton Da Silva pada minit ke-55.
Park Taesu menjaringkan gol keduanya pada perlawanan ini pada minit ke-59 selepas menyudahkan dengan baik hantaran daripada Saddil Ramdani.
Adriano Narcizo menjaringkan gol kedua Penang FC menerusi tendangan penalti selepas dia dijatuhkan oleh Mohd Amri Yahya pada minit ke-91.
Sabah FC sekali lagi memperolehi sepakan penalti selepas Mohd Rizal Ghazali dijatuhkan pada minit ke-102 dan pemain itu sendiri menyempurnakan tendangan untuk jaringan kelima Sabah FC.
Sabah kekal ditangga kedua Liga Super dengan 13 mata.
Perlawanan Sabah FC seterusnya pada 31 Mac ini menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim.