Sektor pelancongan, pertanian ruang pekerjaan Graduan di Ranau – Anuar Samitah

KOTA KINABALU: Mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian serta pelancongan kalangan graduan di Ranau merupakan fokus utama Calon Ketua Bahagian UMNO Ranau, Anuar Samitah.

Menurutnya, ketika ini dilihat kedua-dua bidang tersebut diusahakan ramai individu luar manakala penduduk tempatan hanya bertindak sebagai pemerhati serta menyewakan tanah  kepada mereka.

“Kita mahu anak tempatan atau Graduan mempunyai latar pendidikan tinggi bersiap sedia mengambil alih sepenuhnya bidang pertanian dan pelancongan ini di dalam tempoh terdekat.

“Kita yakin keluarga graduan ini memiliki tanah yang boleh diusahakan secara sepenuh masa disamping bersiap sedia menguruskan kedua-dua bidang ini dalam tempoh terdekat.

“Kita perhatikan ramai pengusaha pelancongan serta pertanian adalah orang luar  bukan kalangan anak tempatan Ranau,” katanya di sini hari ini.

Anuar berpengalaman luas dalam bidang perniagaan bersiap sedia membantu mereka khususnya dalam menyediakan ruang khidmat nasihat bagi menceburi bidang itu nanti.

“Ini adalah antara matlamat kita di UMNO Bahagian Ranau untuk membantu kalangan graduan di Ranau untuk memperoleh pendapatan tetap mereka.

“Kita memperoleh maklumat, hampir setiap rumah mempunyai graduan di Ranau namun masih belum mempunyai peluang pekerjaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan,  Anuar bersedia bekerjasama dengan menjalin hubungan kerjasama baik dalam kalangan parti politk khususnya di Parlimen Ranau.

“Kita jadikan Pejabat Bahagian UMNO Ranau sebagai pusat pertemuan serta perbincangan bagi memastikan matlamat memperkasakan ekonomi rakyat di Ranau dapat direalisasikan secara bersama-sama.

“Secara tidak langsung langkah terbaharu UMNO Ranau ini memberi ruang serta peluang kepada masyarakat Ranau menyalurkan masalah mereka,” katanya.