Perlawanan persahabatan beri pendedahan pemain – Amir

KOTA KINABALU : Akademi Bola Sepak Sepanggar (ABSS) mengadakan perlawanan persahabatan dengan TABS SAFA Bandaraya bagi kategori umur B12 dan B10 di padang TABS Sukma di sini, Ahad lalu.

Perlawanan itu berkesudahan dengan pasukan TABS B12 mengatasi ABSS B12 4-1 manakala pasukan TABS B10 menewaskan ABSS B10 3-0.

Jurulatih ABSS, Amir Mutteridi berkata, perlawanan persahabatan itu memberi pendedahan kepada pemain-pemainnya selain memberi peluang kepada mereka untuk bermain menghadapi lawan.

Katanya, ini merupakan kali pertama pasukannya bermain di luar dan memilih pasukan TABS untuk program itu bagi menimba pengalaman daripada mereka yang mengendalikan program pembangunan bola sepak dengan baik.

“Kami ingin mempelajari sesuatu daripada TABS mengenai pengendalian program pembangunan memandangkan ABSS baru sahaja diwujudkan,” katanya ketika ditemui di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim, naib pengerusi, S.A Ramlye, Setiausaha TABS, Haji Amsir Abdullah, ketua jurulatih TABS, Ismail Tudiki, Pengerusi ABSS, Jaidi Roslin dan ahli-ahli jawatankuasanya.

Beliau juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan TABS kerana memenuhi permintaan ABSS untuk mengadakan program perlawanan persahabatan dengan mereka.

Katanya, dengan memiliki kejurulatihan yang berpengalaman, pengurusan yang baik dan mempunyai kemudahan fasiliti terutama padang, TABS adalah antara akademi bola sepak di Sabah yang wajar dicontohi.

“TABS juga berkolaborasi dengan kelab profesional Sabah FC dan ini merupakan satu kelebihan, yang akademi lain tidak miliki,” tambahnya.

Amir menambah keputusan dalam perlawanan persahabatan itu tidak penting bagi mereka kerana mempelajari sesuatu yang bermanfaat dari pasukan lawan, itu menjadi keutamaan dan matlamat pasukan mereka.