Liga Super: Sang Badak tundukkan Gergasi Merah di Stadium Likas

KOTA KINABALU: Sang Badak menundukkan Gergasi Merah 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas Kota Kinabalu malam tadi.

Ini membolehkan Sabah FC meneruskan rekod tanpa kalah di laman sendiri dalam Liga Super 2023 ini.

Sabah FC mendahului jaringan menerusi Saddil Ramdani pada minit ke-24 yang menyempurnakan tendangan penalti selepas kapten pasukan Baddrol Bakhtiar dijatuhkan.

Sabah FC yang menguasai permainan  tidak dapat menambah jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Sebaliknya Selangor FC menyamakan jaringan menerusi gol sendiri penjaga gol Sabah FC Khairul Fahmi Che May selepas terkena bola lantunan dari tendangan Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-53.

Sabah FC kemudian memperkemaskan serangan termasuk membawa masuk Jailton Da Silva menggantikan Darren Lok dan Rawilson Batuil menggantikan Dominic Tan.

Jaringan kemenangan Sabah FC diperolehi menerusi Baddrol Bakhtiar yang menyempurnakan sepakan percuma menggellirukan penjaga gol Selangor FC Samuel Somerville pada minit ke-66.

Kemenangan ini membolehkan Sabah FC menduduki tangga ketiga pasukan dalam Liga Super dengan 20 mata.

Perlawanan seterusnya Sabah FC dalam saingan Liga Super adalah pada 19 Mei ini  menentang Terengganu FC di Stadium Likas.