Pembinaan Patung Mazu Di Kudat Wajar Diteruskan – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu memberikan pertimbangan kelulusan untuk meneruskan pembinaan projek Patung Mazu (Dewi Laut ) di Kudat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata projek ini   mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri  khususnya dalam sektor pelancongan sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Katanya, penduduk setempat boleh menjana lebihan pendapatan melalui aktiviti perniagaan berasaskan penghasilan prodak kraftangan serta makanan untuk dijual kepada pelancong luar yang datang melawat ke daerah itu.

“Sudah tentu ada pro dan kontranya….Bagaimanapun kita perlu melihat dari prespektif yang luas, terutamanya dari segi pulangan ekonomi melalui sektor pelancongan yang dapat membantu membangunkan ekonomi negeri serta rakyat setempat.

“Kita minta agar kerajaan negeri memberi pertimbangan untuk memberi kelulusan pembinaan patung Mazu ini untuk di bina di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bung Moktar merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, isu pembinaan Patung Mazu ini tidak  mengganggu ibadah umat Islam  atau menimbulkan senstiviti agama apalagi merosakan Aqidah umat Islam.

Ini kerana perkara yang sama sudah berlaku di beberapa negeri termasuk di Kelantan Pulau Pinang serta di negeri lain yang tidak pun menjejaskan kehidupan masyarakat islam di negeri berkenaan

“ Kita lihat di Kelantan  dikenali Negeri Serambi Mekah….Pembinaan patung atau mazu di negeri tersebut tidak menimbulkan sebarang isu senstiviti agama atau merubah aqidah umat Islam.

“Malah dalam Al-Quran Allah SWT berfirman dalam surah Al Kafirun Ayat 6 yang bermaksud  “ Untukmu, agamamu dan untukku agamaku , manakala dalam surah Al-Qasas ayat 55 menyebut, Bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalanmu.

“”Secara tidak langsung tidak timbul sebarang isu pembinaan patung Mazu ini boleh dilihat menjejaskan aqidah masyarakat Islam terutama di daerah Kudat,” katanya.

Dalam perkembangan sama Bung Moktar berkata beliau difahamkan pihak pemaju projek ini akan membina menara patung  Mazu ini tanpa  menghalang kedudukan atau pandangan masjid daerah yang sediada.

“Apa saja konflik pada masa lepas boleh diselesaikan secara baik untuk manfaat rakyat terutama di daerah Kudat dan pulangan ekonomi kepada negeri Sabah.

“ Sudah tentu ia akan membawa perubahan dari segi peningkatan sumber ekonomi di daerah Kudat serta masyarakat setempat jika pembinaan patung ini beroperasi kelak,” katanya.

Mengulas mengenai di negara China Bung Moktar berkata, berjuta pelancong datang ke tanah besar itu semata-mata ingin melihat patung Quan Yin.

“Jadi tidak mustahil Sabah juga akan menerima sejumlah besar  pelancong dari luar negara  setiap tahun untuk melawat Patung Mazu di Kudat.

“Kita melihat dari sudut positifnya sudah tentu akan memberikan pulangan ekonomi besar kepada negeri Sabah berikutan wujudnya peningkatan salah satu sumber pendapatan  melalui sektor pelancongan.

“Kerajaan negeri perlu melihat projek ini mampu menjana ekonomi negeri dengan menolak pandangan sampit yang menghalang usaha ke arah Sabah Maju Jaya,” katanya.