KOTA KINABALU : Perlawanan persahabatan bola sepak antara Polis Daerah Kota Kinabalu dan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) menjadi medium untuk mengeratkan hubungan antara polis bersama pengamal media.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, penganjuran perlawanan ini juga dapat meningkatkan lagi “Community Policing” anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama media dalam bidang sukan.
“Kita mengadakan perlawanan persahabatan yang bertujuan untuk menyeratkan hubungan di antara media dengan pihak polis.
“Sebagaimana sedia maklum, polis dengan masyarakat ini berpisah tiada jadi kita mulakan dahulu bersama dengan pihak media untuk bersama-sama mengadakan komuniti policing dalam bidang sukan.
“Untuk peringkat pertama ini, kita adakan perlawanan bola sepak dengan pegawai dan anggota di IPD Kota Kinabalu dan bagi menjayakan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak,” katanya ketika ditemui media dalam Perlawanan Persahabatan KK Cops menentang Persatuan Wartawan Sabah (SJA) di Stadium UMS pada Rabu lepas.
Hadir sama, Presiden SJA, Datuk Muguntan Vanar.