Suspek Warga Asing Ditahan Bersama 7.24 Gram Syabu di Tawau

TAWAU : Seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun ditahan oleh polis di sebuah ladang di KM42, Jalan Apas Tawau – Semporna, petang tadi, dengan rampasan 7.24 gram dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, memaklumkan bahawa suspek ditahan oleh anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Bandar Sri Indah (BSI) setelah menerima maklumat awam.

“Pada jam 2.00 petang, anggota kami terserempak dengan seorang lelaki yang dalam keadaan
mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan, suspek menyerahkan sebuah beg silang berwarna hitam yang mengandungi 26 peket plastik lutsinar, setiap satu berisi bahan hablur jernih disyaki syabu dengan nilai anggaran RM800,” katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, di mana kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

” Pihak polis Tawau akan terus mempergiatkan usaha membanteras jenayah dan penyalahgunaan dadah dengan operasi yang lebih agresif,” katanya.