Sabah FC fokus pada perlawanan PJ City 9 Mac ini

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee kecewa dengan kegagalan anak buahnya memanfaatkan peluang mencipta kemenangan pertama di laman sendiri ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) Liga Super 2022 di Stadium Likas, malam tadi.

Katanya Sabah FC menurunkan hampir kesemua pemain importnya namun gagal memanfaatkan peluang.

Justeru, katanya, Sabah FC perlu kembali fokus dan memastikan dapat mengutip mata pada perlawanan berkenaan dan yang seterusnya.

“Saya tahu ramai yang kecewa terutama sepakan penalti Neto yang gagal disudahkan dengan gol tetapi kita perlu beri dia peluang dalam dua atau tiga perlawanan untuk membuktikan kemampuannya.

“Saya percaya beliau mampu menjadi penjaring untuk pasukan kita dalam perlawanan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Mengenai prestasi penyerang import baharu dari Brazil, Neto Pessoa yang banyak mencipta peluang dalam aksi malam tadi, Kim Swee berkata, beliau perlu diberi peluang untuk menunjukkan kehebatan sebagai penjaring.

Beliau berkata, walaupun mengawal banyak situasi sepanjang perlawanan, termasuk mendapat sepakan penalti pada minit akhir babak pertama, namun pemain gagal menyudahkan peluang untuk menghasilkan gol.

Sebaliknya, Kim Swee berkata NSFC berjaya mencuri peluang mendapatkan gol ketika separuh masa kedua baru bermula menyebabkan Sabah FC ketinggalan 1-0 hingga ke minit akhir perlawanan dan terlepas peluang mengutip tiga mata.

“Kita tidak memanfaatkan peluang yang kita ada, di mana kita mengawal banyak situasi dan peluang. Malangnya, kita tidak dapat menyempurnakan termasuk sepakan penalti.

“Lebih mengecewakan apabila pasukan Negeri Sembilan mendapat gol melalui ‘set pieces’ dan sudah tentu ini satu tamparan kepada kita,” kata Kim Swee.