KOTA KINABALU: Sabah FC perlu kekal momentum kemenangan untuk menewaskan Melaka United FC (MUFC) dalam perlawanan suku akhir pusingan pertama di Stadium Likas malam esok.
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, pastinya perlawanan malam esok berbeza berbanding sebelum ini ketika Sabah FC mencapai dua kemenangan berturut-turut.
“Saya percaya Melaka merupakan satu pasukan yang cukup baik, terutama prestasi mereka pada saingan Piala Malaysia peringkat kumpulan.
“Mereka menewaskan pasukan Kedah….Saya jangkakan ini merupakan satu lagi cabaran yang harus ditempuhi. Kita tuntut sikap positif daripada semua pemain ketika bertemu PJ City FC dan juga Kelantan FC minggu lalu.
“Kita yakin mempunyai harapan baik untuk mendapatkan keputusan yang positif menjelang perlawanan malam esok,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Kim Swee berkata, sudah tentu kelebihan bermain di tempat sendiri pada pusingan pertama akan dimanfaatkan sepenuhnya sekali gus mampu mencatatkan keputusan positif.
“Kita perlu mengelak daripada melakukan kesilapan sama dalam pertemuan sebelum Ini. Pertemuan kalah mati serta bermain di tempat sendiri sudah tentu kita memerlukan kemenangan dengan jaringan gol.
Dalam masa sama, Sabah FC tidak boleh terburu-buru apabila bermain di peringkat timbal balik kerana jaringan gol di tempat lawan harus diambil kira.
“Pada perlawanan malam esok kita akan fokus bagi memastikan gawang gol tidak dibolosi sekali gus mencapai keputusan baik di Stadium Likas,” katanya.