Kerjasama PPD, Pemimpin Perkasakan Penyampaian Maklumat

PITAS: Kerjasama Pejabat Penerangan Daerah dan pemimpin masyarakat mampu memperkasakan penyampaian maklumat kepada rakyat.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Seri Ruddy Awah berkata, ke arah menjayakan kerjasama itu pihaknya bersedia untuk membantu dalam menyediakan peralatan untuk hebahan.

“Kita akan membantu menyediakan peralatan dan kelengkapan yang diperlukan oleh PPD seperti pembesar suara dan sebagainya.

“Ini kerana umum mengetahui bahawa hebahan merupakan platform penting bagi penyampaian maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat khususnya di kawasan pedalaman.

“Kawasan Pitas ini luas dan didiami puluhan ribu penduduk. Malah, sesetengah kawasan hanya boleh sampai menggunakan kenderaan pacuan empat roda, jadi mereka sukar mendapatkan maklumat.

“Dengan lawatan sebegini, JAPEN dapat melihat kelengkapan yang diperlukan bagi melancarkan hebahan ke kawasan-kawasan pedalaman dan kita akan bantu agar maklumat sampai kepada semua penduduk daerah ini,” katanya ketika berucap dalam Program Sembang Santai dan Ramah Mesra di sini.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Andullah, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Azman Sipan, KPP Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Zulhanin Hasni dan KPP Media dan Komunikasi Korporat, Peter Tong Ah Pin.-Penerangan.