Nabawan – Pasukan Belia Pensiangan menjuarai Piala Belia Pensiangan apabila menewaskan Pasukan Salarom A dalam kejohanan itu di Padang Pekan Pensiangan, semalam.
Pasukan juara itu mengungguli kejohanan tersebut apabila menundukkan 16 pasukan lain dalam kategori pasukan lelaki.
Bagi kategori pasukan wanita pula diungguli oleh Salinatan apabila menewaskan Sakali Star dalam pertandingan selama tiga bermula pada 3 Februari dan berakhir semalam.
Kejohanan tersebut menampilkan 16 pasukan lelaki dan enam pasukan wanita sekitar Mukim Pensiangan (dua pasukan jemputan dari luar) dianjurkan bersama oleh PMM SIB Kawasan Nabawan, Komuniti Belia Gereja-Gereja Pensiangan dan Mahkamah Anak Negeri Mukim Pensiangan.
Penyampaian hadiah dan trofi disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.
Terdahulu, beliau turut menyaksikan sendiri perlawanan akhir kejohanan tersebut di antara pasukan Salarom A menentang Belia Pensiangan.
Sementara itu, Ellron dalam ucapannya berkata, kejohanan itu merupakan inisiatif terbaik bagi memberikan pendedahan kepada anak-anak muda untuk bergiat lebih aktif dalam sukan khususnya bola sepak.
“Di Pensiangan ini banyak bakat besar dalam sukan bola sepak, yang boleh diasah dan dilentur, justeru kejohanan ini adalah salah satu medan utama bagi mereka yang berminat untuk mengasah bakat,” katanya.
Beliau juga mengharapkan agar lebih banyak kejohanan sukan seumpama ini di adakan pada masa hadapan.
Ellron yang juga wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) Sook turut hadir bagi menyempurnakan Program Bersama Rakyat di Bangsal Pensiangan sekali gus merasmikan Penutupan Kejohanan Bolasepak Piala Pensiangan.
Pogram itu turut dihadiri Ketua Anak Negeri Mukim Pensiangan, Atar Andipoh; wakil-waki Ketua Anak Negeri Mukim Pensiangan, Ketua-ketua Kampung, UPPM Sook serta warga kampung berkenaan.