Kuala Lumpur menjuarai Karnival Bola Sepak Bawah 11 Tahun TABS

KOTA KINABALU: Pasukan Kuala Lumpur menjuarai Karnival Bola Sepak Bawah 11 Tahun TABS setelah menewaskan pasukan Selangor 2-1 pada perlawanan akhir di padang TABS SUKMA, kelmarin.
Pasukan yang menggelarkan diri mereka Kuala Lumpur itu mendahului dengan jaringan 2-0 namun pasukan Selangor tidak berputus asa dan berjaya menjaringkan satu gol untuk menduduki naib juara.
Kuala Lumpur yang diketuai anak bekas pemain kebangsaan, Suharmin Yusof, Baiduri terus bertahan dari asakan lawan yang akhirnya membuahkan hasil untuk mereka dinobatkan sebagai juara karnival tersebut.
Manakala pasukan Perak dan Selangor disytiharkan sebagai pemenang bersama tempat ketiga.
Jurucakap unit kejurulatihan TABS yang mengendalikan karnival itu, Roslan Wasli berkata, sebanyak sembilan pasukan bawah 11 tahun menyertai karnival dalaman TABS itu.
Katanya, selain memberi latihan kepada pelatih-pelatih, karnival itu salah satu aktiviti memberi pendedahan kepada pelatih melalui kejohanan sebenar.
“Lebih 100 pemain kanak-kanak terlibat dalam karnival berkenaan,” katanya pemain terbaik dalam karnival tersebut akan diserap ke dalam pasukan elit B11 TABS.
Roslan memberitahu, karnival itu akan terus diadakan membabitkan kategori umur yang lain selepas ini.
Malah, katanya, TABS juga akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Perempuan B12 Tahun Jemputan sebelum bulan Ramadan ini.
“Kita akan menjemput pasukan-pasukan dari luar seperti dari Beaufort dan Ranau untuk menyertai kejohanan tersebut dan setakat ini kita dalam proses mempersiapkan penganjuran kejohanan itu,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim telah menyampaikan hadiah berupa hamper dan sijil kepada pemenang karnival B11 tahun itu.
Turut hadir Setiausaha TABS, Amsir Abdullah, ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad dan ibu bapa pelatih.