Sasaran 3 mata di Stadium Hang Jebat malam ini – Kim Swee

KUALA LUMPUR: Tempoh rehat sebulan digunakan bagi sasaran mengutip ‘tiga mata’ penting pada pertemuan menentang Melaka United FC (MUFC) di Stadium Hang Jebat malam ini.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata tempoh rehat panjang dapat memperbaiki beberapa kelemahan sedia ada sekali gus tidak ingin kehilangan tiga mata meskipun bertandang di tempat lawan.

Katanya, mengutip tiga mata bukan satu tugas mudah namun yakin Sabah FC mampu memberi saingan hebat malam ini.

“Kita percaya Sabah FC mampu memberikan saingan serta positif akan melakukan kemenangan malam ini nanti.

“Selepas sebulan kita berehat untuk memberi ruang kepada skuad Harimau Malaya. Kita gunakan sebaiknya untuk menjalani latihan biasa, kini berada di Kuala Lumpur selama seminggu.

“Dalam tempoh ini juga kita juga mengadakan perlawanan menentang pasukan PDRM FC dan kini semua pemain berada dalam keadaan yang cukup baik serta bersedia sepenuhnya pada perlawanan malam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas mengenai beberapa pemain masih mengalami kecederaan Kim Swee berkata, Sabah FC terpaksa menunggu sehingga hari ini untuk menentukan kesebelasan utama diturunkan malam ini.

Mengenai pertemuan dengan pasukan Melaka United FC malam ini Kim Swee berkata, selepas mengharungi beberapa perlawanan, malam ini adalah keputusan penting untuk mengutip mata pertama kemenangan bermain di tempat lawan.

“Kita tahu Melaka United sehingga tidak berjaya mendapatkan kemenangan dalam dua perlawanan awal saingan Liga Super, dan ini sudah pasti memberikan mereka satu tekanan.

“Saya percaya selama sebulan cuti sudah tentu mereka telah mengenalpasti beberapa kelemahan mereka dan kita harus waspada agar tidak kehilangan mata,” katanya.