KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Warisan menggesa DAP beri penjelasan selepas pengakuan mereka baru-baru ini bahawa Pakatan Harapan (PH) memang menerima pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan, selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO.
Dalam satu kenyataan hari ini, Samuel Wong yang merupakan Ketua Cabang Warisan Luyang berkata PH terhutang penjelasan kepada rakyat berhubung peruntukan dana.
Beliau menjawab kenyataan Ahli Parlimen Kota Kinabalu DAP, Chan Foong Hin yang mengakui PH memang menerima pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan dengan menyatakan dana tersebut dibelanjakan untuk orang ramai.
“Akhirnya seorang ahli parlimen DAP telah mengakui bahawa semua ahli parlimen PH menerima wang daripada kerajaan BN, selepas menandatangani MOU.”
“Tetapi ini tidak pernah didedahkan kepada umum selama ini, sehingga Warisan mendedahkan bahawa RM166.7 juta dalam bentuk geran langsung dan RM178 juta dalam peruntukan projek.”
“Mengapa PH mendiamkan diri mengenai pembiayaan? Tiada apa-apa yang didedahkan menjelang pemeteraian MOU..Ahli Parlimen PH harus menjelaskan secara terperinci bagaimana setiap satu sen dibelanjakan.
“Adakah ini satu bentuk rasuah? Adakah PH mengekalkan kerajaan BN pada hari ini, sebagai pertukaran untuk ratusan juta pembiayaan melalui MOU,” katanya yang turut mempersoalkan PH jika ini adalah satu bentuk rasuah untuk memastikan kerajaan hari ini kukuh.
Mengulas lanjut, Samuel berkata dana peruntukan tidak seharusnya berdasarkan MOU, tetapi reformasi parlimen yang tulen.
“Jika PH mengatakan MOU itu adalah untuk reformasi parlimen, maka reformasi itu harus merangkumi peruntukan untuk setiap ahli parlimen dan kawasan mereka..Tetapi itu tidak berlaku.”
“Hanya mereka yang menandatangani MOU untuk menyokong Ismail Sabri diberi wang. Bagi mereka yang tidak menandatangani MOU, tiada wang diberikan.Adakah PH ini kononnya reformasi parlimen atau adakah ia lebih kelihatan seperti PH telah dibeli oleh UMNO.
“Apa yang lebih teruk ialah PH melangkah lebih jauh dengan mencuba satu lagi MOU peringkat Sabah dengan GRS.Lim Guan Eng terbang jauh-jauh dari KL ke Sabah untuk menemui Hajiji secara rahsia,” katanya sambil menambah selepas ia terdedah barulah DAP yang tergesa-gesa pergi berjumpa Shafie,” kata Samuel.