Sabah FC yakin tunjukkan prestasi sebenar mereka – Kim Swee

KOTA KINABALU: Sabah FC yakin dapat menemui rentak persembahan sebenar mereka menjelang baki saingan perlawanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2022 ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata meskipun tewas 0-1 kepada Kelantan FC namun yakin mencatat keputusan baik pada perlawanan seterusnya menentang Kuching FC malam esok.

Katanya, Sabah FC masih mempunyai baki tiga minggu untuk memperbaiki kelemahan sebelum memulakan kempen Liga Malaysia menentang Negeri Sembilan  FC awal Mac depan.

“Kita tidak panik dengan beberapa keputusan dalam perlawanan persahabatan pra musim sebelum ini, namun keputusan ini dapat memberi ruang memperbaiki setiap kelemahan sedia ada.

“Saya pasti kita boleh perbaiki apa juga kelemahan sedia ada…Kita ada tiga perlawanan lagi masa itu mungkin sudah ada keserasian dalam kalangan pemain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas mengenai perlawanan malam tadi, Kim Swee ternyata kecewa dengan keputusan tidak memberangsangkan itu sekali gus mengecewakan semua pihak.

“Daripada segi keputusan saya memang tidak berpuashati dengan beberapa pemain yang tidak menunjukkan prestasi sebenar mereka…Kita bermula agak perlahan tetapi kita berjaya mendapatkan gol pertama.

“Selepas gol pertama kita berhenti bermain dan seolah-olah  mengambil mudah. Ini merupakan satu sikap negatif yang perlu diubah apabila mendahului kita harus kekalkan momentum,” katanya.

Sabah FC memperbaiki beberapa isu utama termasuk kecederaan yang masih membelenggu beberapa pemain utama penyerang import dari Jepun, Taiki Kagayama, Dominic Tan, Irfan Fazail dan beberapa pemain lain.

“Saya berpuashati dengan prestasi penampilan pertama penyerang Brazil, Neto Pessoa…Neto baharu bersama-sama kita selama dua minggu.

“Sudah tentu banyak kelemahan perlu diperbaiki terutamanya daripada segi penyudah tetapi secara keseluruhannya saya yakin Neto boleh menunjukkan prestasi sebenarnya,” katanya.