KOTA KINABALU: Penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam E-Sport memberi petanda baik kepada sukan ini untuk menjadi sebagai peluang kerjaya utama di masa depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan, berkata pihaknya akan memastikan E-Sport ini menjadi salah satu bidang menjanjikan pendapatan lumayan khususnya golongan muda yang menyertainya.
Katanya, kerjaya ini bukan lagi dilakukan untuk mengisi kegiatan masa lapang kerana ia mampu menjana pendapatan lumayan kepada pesertanya.
“E-Sukan kini dilihat semakin berkembang maju di negara kita terutama di negeri ini. Semakin hari ia berkembang pesat berdasarkan perkembangan dalam era teknologi masa kini.
“Penyertaan E-Sport melibatkan kini memasuki era profesionalism sekali gus akan menjadi satu kerjaya tetap dan bukan lagi sebagai aktiviti bagi memenuhi masa lapang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan E-Sport di sini semalam.
Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, berkata beliau mengharapkan agar lebih ramai golongan remaja dapat merebut peluang ini bagi mengelak terlibat dalam kegiatan yang tidak diingini.
Sementra itu, Pengerusi Penganjur, Razeki Rashid, berkata kejohanan selama dua hari ini mendapat penyertaan 32 pasukan melibatkan 170 peserta secara keseluruhan.
“Pada kejohan ini Artec SE merangkul juara keseluruhan dengan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.
“Manakala Delta ACMY, MRe Faora serta Grims Reapers Outlaws masing-masing memenangi tempat kedua, ketiga dan keempat,” katanya.
Suhaili Rosmin diumumkan sebagai Pemain Tonggak Harapan (MVP) apabila memperoleh 16 mata bunuh sekali gus memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM500.
“Atas sambutan yang menggalakkan kita akan menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan sekali gus menggalakan lebih ramai penyertaan di masa depan,” katanya.