UiTM prihatin dengan keperluan pelajar dalam pembelajaran norma baharu

KOTA KINABALU: Universiti Teknologi Mara (UiTM) prihatin dengan keperluan pelajar terutamanya dalam pembelajaran norma baharu, kata Naib Canselor UiTM Prof Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor.

Beliau berkata UiTM mengutamakan kebajikan seluruh warganya khususnya pelajar dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi persekitaran pendidikan yang kondusif.

“Kewujudan UiTM adalah untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan meneruskan pembelajaran di peringkat universiti. Sememang dan sewajarnya UiTM membantu golongan B40. Justeru, segala kemudahan pembiayaan melalui dana-dana tertentu disediakan oleh UiTM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ini susulan tular video di media sosial membabitkan tindakan seorang pensyarah UiTM yang telah mengeluarkan komen sensitif dengan pihak universiti telah meneliti isu tersebut dan mengambil tindakan pantas dan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan.

UiTM bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik UiTM dengan sengaja mahupun tidak.

Roziah berkata UiTM memahami kekangan, kesulitan dan status yang dihadapi dalam menjalani proses pembelajaran dan pengajaran dalam talian.

“Pihak universiti telah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan para pelajar yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan kemudahan pembelajaran seperti dana amanah pelajar, bantuan dari pusat zakat serta pihak alumni,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pelajar yang berhadapan dengan sebarang masalah agar dapat berhubung dengan pihak fakulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran.

Menurutnya dalam merealisasikan keberkesanan bagi pelaksanaan kadaeah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian yang terbaik, semua pihak perlu berganding bahu dari semua aspek.