KOTA KINABALU: Baddrol Bakhtiar membuat penampilan kali terakhir pada perlawanan menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas, malam esok
Menurut kenyataan rasmi Sabah FC hari ini, pemain Penyerang berumur 35 tahun itu akan mengundurkan diri atas sebab akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
“Sabah FC hari ini mengumumkan Ketua Pasukannya Baddrol tidak lagi bersama pasukan sehingga sepanjang baki saingan Liga Malaysia musim ini.
“Keputusan ini diambil melalui persetujuan bersama Baddrol Bakhtiar, atas sebab yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Sabah FC turut memaklumkan beliau akan sentiasa menjadi legenda di Sabah FC dan segala komitmen, dedikasi, semangat dan motivasi yang diberikan sepanjang bermain bersama Sabah FC menerajui Sabah ke AFC Cup 2023 akan sentiasa dikenang sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu juga menyebut Baddrol menyertai Sabah FC sejak akhir 2021 selepas meninggalkan Kedah Darul Aman FC.
“Sehingga kini Baddrol memahami jersi keramat No.7 sudah membuat 41 penampilan dan 13 gol disumbangkan sekali gus memperlihatkan Baddrol terpahat dalam sejarah kelab akan sentiasa terjamin sepanjang masa.
“Nama Baddrol Bakhtiar juga akan dikenang sebagai lagenda di Arena Bolasepak Malaysia,” katanya.
Sabah FC turut mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan kejayaan dalam apa jua bidang yang beliau ceburi.
“Kami sentiasa mengalu-alukan Baddrol Bakhtiar kembali ke Sabah FC sebagai keluarga pada masa hadapan,” katanya.