KOTA BELUD: Karnival Bahasa Kadazandusun (BKD) mampu memperkasakan warisan bahasa serta budaya masyarakat Kadazandusun agar tidak pupus ditelan zaman.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, beliau mahu skala penganjuran karnival itu pada tahun depan diperluaskan untuk menarik penyertaan.
Katanya, ini termasuk dalam pelajar sekolah rendah dan menengah sekali gus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran BKD di peringkat sekolah.
“Tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan Karnival BKD ke-10 setelah tiga tahun tertunda akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).
“Karnival BKD ini penting dalam usaha memperkasa pengajaran dan pembelajaran BKD yang kini diajar bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi di institut pengajian tinggi.
“Kehadiran saya pada pagi ini adalah untuk menyatakan komitmen saya dan pimpinan Kerajaan Perpaduan melengkapkan usaha dan inisiatif yang diambil oleh guru-guru yang terlibat dalam pengajaran BKD,” katanya di sini hari ini.
Ewon merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, walaupun BKD diajar di sekolah namun penganjuran program di luar kelas juga penting.
“Ini untuk memastikan mereka bukan setakat mempelajari bahasa tetapi memahami lebih mendalam budaya masyarakat itu,” katanya.