Suspek curi kabel cuba rempuh polis

KOTA KINABALU: Cubaan sekumpulan lelaki mencuri kabel telekomunikasi di Jalan Tuaran berhampiran Jabatan Audit awal pagi tadi gagal apabila dua suspek berjaya ditahan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ketika melarikan diri daripada polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.13 pagi itu, anggota polis bersama kakitangan Telekom Malaysia (TM) yang sedang menjalankan rondaan mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah mainhole milik syarikat telekomunikasi berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pemeriksaan mendapati beberapa individu sedang menjalankan kerja pemotongan kabel telekomunikasi di dalam mainhole tersebut.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek melarikan diri menggunakan sebuah Toyota Hilux dan sebuah van Hiace.

“Pemandu Toyota Hilux turut dipercayai cuba merempuh anggota polis yang cuba menghalang laluan kenderaan berkenaan sehingga membahayakan keselamatan anggota yang sedang bertugas,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut beliau, polis berjaya menahan Toyota Hilux berkenaan selepas kenderaan itu terbabas berhampiran stesen minyak Shell Likas.

Dua suspek berjaya ditahan manakala sebuah van Hiace berjaya melarikan diri dan kini sedang dikesan polis.

Polis turut merampas satu alat pemotong kabel yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut. Pemeriksaan lanjut mendapati kabel milik Telekom Malaysia telah dipotong namun belum sempat dibawa keluar dari lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.