Sabah FC bawa pulang 3 mata dari Kota Bharu

KOTA BHARU : Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) memberi tentangan sengit dan mensia-siakan peluang mudah sebelum tewas 2-3 kepada Sabah FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam ini.

Kedua-dua pasukan bermula seimbang apabila saling melancarkan serangan bertali arus sebelum pasukan pelawat dikendalikan Datuk Ong Kim Swee memperolehi jaringan pertama pada minit ke-25 menerusi Gabriel Peres apabila mudah menolak masuk ke gawang gol KDN FC.

Penyerang import KDN FC Chadrack Muzungu gagal memanfaatkan peluang menyamakan jaringan minit ke-32 apabila sepakan percuma dari luar kotak penalti mudah diselamatkan penjaga gol Sabah FC Khairul Fahmi Che Mat.

Bersambung babak kedua perlawanan, Sabah FC memperolehi peluang terbaik menambah jaringan pada minit ke-52 namun percubaan pemain import Telmo Ferreira dalam kotak penalti gagal disempurnakan.

KDN FC bimbingan Park Jaehong berjaya meledak gol penyamaan menerusi pemain import dari Korea Selatan Kim Ri-Gwan dengan tandukan hasil sepakan penjuru pada minit ke-55.

Kemampuan penjaga gawang KDN FC, Khatul Anuar terus ditumpaskan apabila pemain gantian Sabah FC Stuart Wilkin menyumbat jaringan kedua menerusi percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-64.

Berselang lima minit, Ramon Machado mengambil kesempatan dengan kekalutan di hadapan pintu gol lawan untuk menolak mudah gol ketiga Sabah FC.

KDNFC dilihat semakin rancak pada lewat perlawanan apabila pemain import Korea Selatar Bae Kyeong Hwan menanduk masuk bola hasil hantaran sepakan percuma rakan sepasukan pada minit 90+1, sekali gus gagal mengutip mata di laman sendiri.