Jawatankuasa Komuniti Desa Madani bantu kerajaan noktahkan kemiskinan – Bung Moktar

KOTA KINABALU : Jawatankuasa Komuniti Desa MADANI adalah antara langkah awal bagi membantu usaha Kerajaan Persekutuan menoktahkan kemiskinan di luar bandar khususnya di Sabah.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jawatankuasa itu antara lain berperanan menyelaras program sosioekonomi rakyat seperti memberi pendidikan dan kemahiran keusahawanan bagi membantu golongan sasar menjana pendapatan seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah.

Katanya, lebih 2,400 individu membabitkan 32 daripada 73 Dewan Undangan Negeri di Sabah telah dilantik bagi menggerakkan peranan jawatankuasa berkendan di kawasan masing-masing setakat ini.

“Matlamat khusus kita adalah membantu Sabah mengurangkan kemiskinan tegar dan Jawatankuasa Komuniti Desa MADANI tidak bertindih dengan tugas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya di sini semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu berkata JKKK berperanan mengurus dan mentadbir kampung manakala Jawatankuasa Komuniti Desa MADANI menyelaras program sosioekonomi serta keusahawanan di kampung terbabit.

Pada 9 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyerahkan watikah pelantikan Jawatankuasa Komuniti Desa MADANI kepada Bung Moktar yang mewakili 132 pengerusi dan setiausaha jawatankuasa itu dari 66 kampung di Kinabatangan.