KOTA KINABALU : Tunas Asas Bola Sepak Sabah (TABS) akan menghantar enam pasukan untuk bertanding dalam Kejohanan Piala Borneo di Kota Kinabalu dari 22 September hingga 4 Oktober ini.
Pasukan tersebut membabitkan pasukan B11, B12, B13, B14, B15 dan B16.
Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim yang mengesahkan perkara itu hari ini, berkata TABS akan menyertai semua kategori umur sebagaimana yang dilakukan sebelum ini.
Katanya, pasukan terbabit sedang disediakan ketika ini dan setiap jurulatih yang diamanahkan mengendalikan pasukan telah pun memulakan latihan sejak beberapa minggu yang lalu.
“Hanya beberapa pasukan seperti B14, B15 dan B16 belum memuktamadkan senarai akhir pemain namun jurulatih terbabit dijangka dapat berbuat demikian dalam masa terdekat,”.
“Mereka sudah mempunyai ramai pemain tetapi mereka perlu mengenal pasti pilihan pemain yang terbaik bagi memastikan pasukan lebih bersedia,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Beliau berkata, TABS akan berusaha menggalas cabaran dalam Piala Borneo tahun ini dan pada masa yang sama meningkatkan lagi pencapaiannya.
“TABS pernah menjuarai B12 dan B16 kejohanan itu sebelum ini selain telah menunjukkan pencapaian yang baik dalam kategori B13, B14 dan B15. Kita mahu meneruskan momentum ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penganjur kejohanan itu, Scott Ollerenshaw kerana sentiasa mengundang TABS untuk menyertai Piala Borneo setiap kali penganjurannya.
“Ini merupakan satu penghormatan kepada TABS dan kita menghargainya,” ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, Lokman turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Sabah FC atas usaha untuk menghantar Ketua Pembangunan Belianya, Johnny Dominicus yang turun meninjau kejurulatihan TABS mengendalikan sesi latihan program pembangunannya minggu lepas.
Menurut beliau, ia sudah tentu dapat membantu kejurulatihan TABS melakukan lebih baik pengendalian program pembangunan yang dijalankan.