Kolam renang Kompleks Sukan Tawau beroperasi Mei ini

TAWAU: Kemudahan kolam renang bernilai RM11 juta di Kompleks Sukan Tawau yang siap pada Disember lepas akan dibuka kepada orang ramai Mei ini.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy berkata kemudahan itu sememangnya dinantikan penduduk Tawau selepas pembinaannya tergendala berikutan terdapat pekerja binaan yang dijangkiti COVID-19.

Katanya beliau melihat masih ada kekurangan pada kolam renang itu yang memerlukan penambahbaikan pada masa akan datang.

“Lembaga Sukan Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan mengatasi kekurangan ini secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan kolam renang itu daripada pihak Jabatan Kerja Raya kepada Kementerian Belia dan Sukan di sini hari ini.

— BERNAMA