TABS hampir kuasai semua kategori bola sepak grassroot Piala Merdeka

SANDAKAN : Pasukan TABS SAFA Bandaraya menjuarai kategori B10 dan B8 di samping memenangi naib juara B12 dalam Karnival Bola Sepak Grassroot Piala Merdeka anjuran Persatuan Bola Sepak Daerah Sandakan yang berakhir semalam.

Satu lagi pasukan TABS B8 turut menduduki tempat ketiga kategori umur tersebut, menghampiri penguasaan penuh dalam karnival itu.

Menurut penolong ketua jurulatih, Hassan Madisah, tuah tidak menyebelahi pasukan TABS B12 kerana kalah tipis 0-1 pada perlawanan akhir walaupun pasukan tidak dibolosi pada peringkat awal dan separuh akhir pertandingan.

“Nasib kita kurang baik apabila bola terkena kaki pemain yang menyebabkan penjaga gol tertewas”.

“Ia ibarat nasib tidak menyebelahi pasukan sungguh pun sebenarnya mereka bermain dengan baik, susulan berlaku “deflection” telah menghampakan penjaga gol kita,” katanya yang memaklumkan perkara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, kemenangan yang diperolehi dalam karnival itu boleh disifatkan sebagai berbaloi terhadap usaha, kesungguhan dan komitmen para jurulatih, pengurus pasukan di samping sokongan baik dalam kalangan ibu bapa.

Katanya, seramai enam jurulatih terlibat bersama pasukan sepanjang karnival dua hari itu.

Sementara itu, Naib Pengerusi TABS, S.A Ramlye ketika dihubungi mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan menunjukkan prestasi baik dalam pertandingan itu.

“Komitmen semua jurulatih di samping kerjasama baik dalam kalangan ibu bapa memberi semangat sekali gus membolehkan pasukan membuktikan keupayaan mereka,” tambahnya.

Beliau berkata, pihak pengurusan akan sentiasa memastikan bukan sahaja sesi latihan program berjalan dengan baik dan teratur namun pemain yang diberi peluang mewakili dalam sesuatu pertandingan juga perlu membuktikan sesi latihan yang mereka ikuti tidak sia-sia.

“Malah perkara ini diakui sendiri oleh pihak penganjur yang sangat tertarik dengan corak persembahan pemain-pemain TABS ketika beraksi di dalam padang,” ujarnya.