KOTA KINABALU : Pasukan TABS Sabah FC B16 melayakkan diri ke perlawanan akhir kebangsaan Liga Suparimau 2024 di Kuala Lumpur pada 14-15 Disember ini berikutan kejayaannya menjuarai bagi kategori umur tersebut Liga Suparimau Sabah 2024, baru-baru ini.
Dengan kejayaan itu, pasukan berkenaan akan mewakili Sabah untuk beraksi di peringkat akhir bersama lapan pasukan lain dari Semenanjung.
Pasukan terbabit ialah Destiny Eagles, KDH Lions Storm FA, Panglima FC, Shining A, Kenari United FC Pagero Jr dan Sher FC.
Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim ketika mengesahkan perkara itu, berkata TABS menerima perkhabaran baik itu selepas menerima pemakluman daripada pihak penganjur Liga Suparimau hari ini.
Katanya, pasukan kendalian jurulatih Rosly Jamal itu akan melakukan persiapan selepas ini dan secara kebetulan pasukan ini juga akan bertanding dalam Kejohanan Piala Borneo pada awal Oktober ini.
“Jurulatih tersebut akan mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kedua-dua kejohanan dan ini bermakna pemain-pemain terlibat akan terus menjalani latihan intensif secukupnya.” katanya ketika dihubungi di sini.
Lokman yakin pasukan tersebut mampu bersaing dan melakukan yang terbaik dengan adanya latihan yang mencukupi.
Menurutnya, jurulatih masih mempunyai masa untuk melakukan persediaan dan memantapkan lagi pasukan tersebut.
“Kesempatan beraksi dalam saingan Piala Borneo terutama dengan kehadiran pasukan-pasukan dari luar negara akan dapat menguji keupayaan sebenar pasukan sebelum bermain di peringkat akhir Liga Suparimau 2024 di Kuala Lumpur nanti,”, ujarnya.
Beliau seterusnya mengucapkan tahniah kepada jurulatih, pegawai pengurusan dan pemain-pemain sepanjang saingan Liga Suparimau 2024 Season B di Kota Kinabalu, baru-baru ini.