Sabung ayam: Tiga lelaki ditahan, lapan ayam dirampas
PENAMPANG: Kegiatan perjudian sabung ayam di Kampung Buit Hills di sini berjaya ditumpaskan polis apabila tiga lelaki tempatan ditahan dalam serbuan Ops Dadu, semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang pada pukul 3 petang itu turut membawa kepada rampasan lapan ekor ayam hidup dan wang tunai RM606.
Menurut beliau, polis turut merampas gelang getah yang dipercayai digunakan sebagai gelanggang sabung ayam serta beberapa peralatan berkaitan.
“Tiga suspek berusia antara 24 hingga 40 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 kerana disyaki melibatkan penganiayaan haiwan melalui aktiviti sabung ayam,” katanya.
