KOTA KINABALU : Wanita UMNO Sabah perlu memperkukuhkan kedudukannya sebagai tunjang parti dalam menghadapi cabaran politik menjelang Pilihan Negeri Raya Ke-17 (PRN17) akan datang.
Ketuanya, Datuk Noraini Idris berkata, amanat Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan Agung UMNO, selepas kejayaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tumpuan akan beralih kepada DUN Mahkota seterusnya PRN Sabah.
Katanya, ini bertujuan membawa misi besar untuk mengembalikan kegemilangan UMNO di Sabah.
“Tugas ini bukannya sesuatu yang mudah, walaupun Wanita UMNO menerima pelbagai pujian daripada Presiden semasa gerak kerja dilakukan semasa PRK Nenggiri.
“Seharusnya Wanita UMNO tidak harus leka serta berpuas hati dengan segala pujian tersebut sekali gus melipatgandakan usaha untuk menghadapi PRN yang akan menentukan masa depan UMNO di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noraini merupakan Exco Wanita UMNO Malaysia mengajak semua jentera Wanita khususnya di Sabah agar bekerja keras serta mengatur strategi tepat bagaimana untuk mencapai kemenangan.
“PRN Sabah akan diadakan selewat-lewatnya bulan Oktober tahun hadapan, bagaimanapun adalah tidak mustahil ia mungkin akan diadakan lebih awal dari jangkaan.
“Oleh itu Wanita UMNO sebagai tulang belakang parti perlu bersedia memikul tugas serta amanah yang diberikan bagi memastikan UMNO akan mencapai kejayaan dalam PRN Sabah,” jelas Noraini.
