Labuan tuan rumah Kejohanan Pingpong MAKSAK 2024

LABUAN: Wilayah Persekutuan Labuan dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Sukan Pingpong Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) 2024 yang akan diadakan di Dewan Serbaguna Perbadanan bermula 13 hingga 19 Febuari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, seramai 230 atlet yang mewakili 15 pasukan dari MAKSAK Negeri akan menyertai kejohanan tersebut.

“Kejohanan kali ini akan membabitkan lima kategori iaitu Kategori Perseorangan Lelaki, Perseorangan Wanita, Perseorangan Lelaki Terbuka, Perseorangan Lelaki Veteran dan Beregu Campuran,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan Labuan kepada atlet Pingpong Labuan yang diketuai oleh Pengurus Pasukan itu, Mohd Azrien Sayudi di Wisma Perbadanan Labuan, pada Jumaat lepas.

Rithuan turut menjelaskan MAKSAK Malaysia juga akan mengadakan dua mesyuarat iaitu mesyuarat jawatankuasa kerja Malaysia yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang turut dihadiri 27 Yang Dipertua setiap negeri pada 16 Februari ini serta Mesyuarat Setiausaha Kehormat pada 15 Februari.

Sementara itu, Mohd Azrien berkata, pasukannya kali ini menyasarkan sekurang kurang berjaya memasuki pusingan kedua untuk memperbaiki rekod tahun lalu dimana mereka terkandas di pusingan awal.

Katanya, pada kejohanan kali ini, perseorangan lelaki Labuan di undi dalam Kumpulan A bersama Terengganu dan Sarawak, manakala perseorangan wanita di undi dalam Kumpulan E bersama Pahang dan ATM.

Bagi ketegori Lelaki Veteran, Labuan akan bersaing dengan pasukan dari ATM, Perak dan Perlis dalam kumpulan M dan Beregu Campuran Labuan akan berdepan dengan Selangor, PDRM dan Pahang dalam kumpulan Q.