Latihan atlet renang dan terjun di Kota Kinabalu terjejas berikutan penutupan Kolam Renang Kompleks Sukan Likas

KOTA KINABALU: Kegagalan pihak Lembaga Sukan Sabah (LLS) memastikan Kolam Renang di Kompleks Sukan Likas Kota Kinabalu dibuka semula pada hari ini menjejaskan latihan atlet renang dan terjun.

Kolam Renang dan Kolam Olimpik di Kompleks Sukan itu telah ditutup sejak Januari lepas untuk kerja naik taraf dan sepatutnya dibuka semula hari ini.

Latihan atlet renang dan terjun di Kota Kinabalu terjejas berikutan penutupan Kolam Renang Kompleks Sukan Likas

Bagaimanapun, difahamkan kerosakan saluran paip dan pam air menyebabkan penutupan diteruskan sehingga Februari tahun depan.

Ini mengecewakan pengguna kemudahan itu khususnya kalangan ibu bapa yang anak mereka berlatih dibawah Kelab Renang menjadikan Kolam Renang dan Kolam Olimpik Kompleks Sukan Likas sebagai pusat latihan.

Seorang bapa dikenali sebagai Stanley berkata pihak LLS sepatutnya memastikan kerja naiktaraf kolam renang di Kompleks Sukan Likas itu siap mengikut jadual dan dibuka semula mengikut tarikh yang dipaparkan Oleh LLS iaitu hari ini.

Tetapi, katanya, sebaliknya, kolam renang itu masih ditutup berikutan kerosakan saluran paip dan pam air.

“Ini menjejaskan latihan atlet renang kerana terpaksa menggunakan kolam lain termasuk di Kompleks Sukan Penampang. Berbeza sukan terjun tiada tempat latihan lain yang sesuai.

“Pihak LLS sepatutnya mengambil perhatian serius disebabkan keperluan kolam renang ini khususnya kepada atlet renang di Kota Kinabalu untuk menghadapi sebarang kejohanan renang,” katanya kepada Sabah News Today.

Justeru itu, beliau mahu Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Belia dan Sukan Negeri mengambil perhatian perkara ini dengan memastikan kerja pembaikan bagi kerosakan yang ada tidak mengambil masa yang lama.

Menurutnya adalah tidak munasabah, Kolam Renang utama di negeri ini ditutup terlalu lama sedangkan keperluan sangat penting kepada atlet sukan renang dan terjun.