TABS Sabah FC sasar juarai Liga Suparimau B16

KOTA KINABALU : Jurulatih TABS Sabah FC B16, Rosly Jamal mensasarkan pasukannya mampu menjuarai Liga Suparimau B16 Season B selepas mengharungi dua lagi perlawanan B16 liga itu pada Sabtu dan Ahad ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin boleh mencapai sasaran itu berdasarkan prestasi pasukan dalam perlawanan yang telah dilalui sepanjang liga.

“Setakat ini pasukan belum pernah tewas dalam lima perlawanan dan seri sekali memperoleh 16 mata. Walaupun di segi kedudukan TABS Sabah FC sama mata dengan KKFC A namun mereka sudah bermain tujuh kali berbanding kami baru mengharungi enam perlawanan,”.

“Kelebihan satu perlawanan ini peluang terbaik kami. Pada masa sama, sasaran saya untuk memenangi kedua-dua perlawanan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Rosly, prestasi pemain-pemainnya ketika ini sangat baik dan yakin momentum itu akan mampu diterjemah dalam dua perlawanan tersebut.

Beliau percaya pemain-pemain sudah bersedia untuk menghadapi lawan mereka kerana mereka berazam untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

“Kita mengharapkan momentum pemain dan semangat yang tinggi akan menjadi ramuan untuk pasukan memiliki sekali lagi kejuaraan itu tahun ini,” tambahnya.

Pada Sabtu ini, TABS SABAH FC akan menentang Likas United di padang sintetik Likas jam 10.30 pagi manakala pasukan itu akan berhadapan KKFC B di venue yang sama pada Ahad jam 9.30 pagi.

Sementara itu, pasukan TABS Mix 9 dan TABS Mix 8 masing-masing telah dinobatkan sebagai juara kategori B10 dan B8 Tigers liga tersebut dua minggu lalu.