Prestasi TABS dalam Piala Borneo lebih baik tahun ini – Scott

KOTA KINABALU : Bekas pemain Sabah, Scott Ollerenshaw menyifatkan prestasi pasukan TABS dalam Malaysia Borneo Football Cup 2024 lebih baik daripada tahun lepas.

Selaku penganjur kejohanan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada TABS atas pencapaian dalam pertandingan itu tahun ini.

“Pasukan anda dilihat lebih kuat tahun ini berbanding tahun lepas,” katanya menerusi whatsappnya kepada Pengerusi TABS, Sulaiman Mohd Noor.

Menurut Scott, beliau mengucapkan tahniah atas pencapaian lebih baik TABS dalam Piala Borneo tahun ini kerana mampu memberi cabaran kepada pasukan-pasukan dari luar.

Jurulatih pasukan TABS B16, Rosly Jamal turut menyatakan bahawa Scott telah menemuinya dan berasa tertarik dengan corak permainan pemain-pemain yang disifatkannya menunjukkan peningkatan dan mampu bersaing dengan lawan.

“Saya melihat dia (Scott) gembira dengan apa yang pemain-pemain kami tunjukkan dan ini sesuatu yang sangat baik dan perlu diteruskan pemain-pemain dalam kejohanan akan datang,” kata jurulatih itu.

Sementara itu, Pengerusi TABS, Sulaiman Mohd Noor mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua jurulatih yang terlibat terutama ketua jurulatih, Ismail Tudiki, pengurus-pengurus pasukan dan pegawai pemantau yang berusaha melakukan yang terbaik sepanjang kejohanan itu.

“Kita juga tidak lupa berterima kasih kepada ibu bapa pemain yang hadir memberi sokongan kepada anak-anak mereka beraksi di padang,” katanya.