Canselor UMS Beri Sumbangan Bantu Ringan Beban Crisnanalina

Juhar Mahiruddin

KOTA KINABALU : Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin memberikan sumbangan kepada Crisnanalina Jumis berasal dari Paitan, bagi membolehkannya melanjutkan pengajian ke ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut kenyataan dari Istana Negeri Sabah, di samping sumbangan bantuan komputer riba serta bantuan perbelanjaannya mendaftar di UMS.

Yang Di-Pertua Negeri Sabah juga akan membantu menyelesaikan yuran pendaftaran kemasukan beliau ke UMS.

“Bantuan ini adalah sumbangan prihatin daripada Di-Pertua Negeri Sabah yang mahu Crisnanalina menerima kemudahan secukupnya bagi membolehkan beliau menyambung pengajian ke universiti.

“Sebagai Canselor UMS, perkara berkaitan kebajikan pelajar khususnya amat dekat di hati Di-Pertua Negeri Sabah, justeru bantuan ini diharap sedikit sebanyak meringankan beban serta menguatkan semangat Crisnanalina untuk menempuh kehidupan sepanjang berada dalam pengajian,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Crisnanalina yang berasal dari Kg. Dalamas, Paitan, Sabah menghadapi kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran serta pelbagai perbelanjaan yang berkaitan, dan memohon bantuan dari pelbagai pihak bagi membolehkan beliau mendaftar dan memulakan pengajian.

Susulan itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS untuk berhubung dengan pelajar tersebut bagi memudahkan urusan pendaftaran kemasukan ke universiti.