Kenyataan Suhaimi Nasir didasari emosi bukan fakta sebenar – Nizam

KOTA KINABALU : Kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menuduh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal dalam membawa kemajuan kepada Sabah adalah merupakan kenyataan beremosi sekali gus tidak didasari fakta.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, beliau ingin menjelaskan beberapa perkara dibangkitkan Suhaimi berhubung prestasi kerajaan GRS.

Katanya, pembangunan projek infrastruktur dilaksanakan, termasuk pembinaan jalan, bekalan air bersih, dan elektri bermula menunjukkan kemajuan positif serta mendapat sambutan dalam kalangan rakyat di Sabah.

“Kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada program pembangunan infrastruktur serta kemudahan awam termasuk kemudahan asas yang kritikal iaitu bekalan air dan elektrik.

“Kerajaan sudah membuktikan komitmen ini penyediaan peruntukan terbesar dalam Belanjawan Negeri 2024 sebanyak RM2.63 bilion, dengan RM1.72 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah dan jabatan berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, penyelesaian bagi kebanyakan isu memerlukan masa serta perancangan yang sangat teliti.

“Sepanjang tempoh empat tahun, kerajaan negeri mengutamakan infrastruktur yang memiliki keutamaan termasuk loji rawatan air dan jalan-jalan perhubungan yang penting.

“Semua usaha ini penting untuk pembangunan jangka panjang Sabah bagi mengurangkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia adalah topik yang kompleks,” jelas Nizam.

Menurut merupakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, menuduh GRS tidak berusaha dalam merapatkan jurang ini adalah satu tuduhan yang terburu-buru, tanpa melihat inisiatif dilasanakan Kerajaan Negeri.

“GRS berusaha mengurangkan jurang tersebut melalui pelbagai inisiatif dan program tentang usaha penghapusan kemiskinan tegar.

“Ini adalah inisiatif yang perlu kita sokong untuk melaksanakan Rumah Sabah Maju Jaya adalah langkah seterusnya untuk menyokong golongan yang memerlukan,” kata Nizam.

Beliau berkata, krisis politik adalah cabaran dihadapi semua kerajaan, bukan hanya GRS sekali gus memainkan peranan yang penting dalam menjaga kestabilan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Kestabilan politik tidak hanya terletak pada kesatuan parti, tetapi juga pada kemampuan untuk berkolaborasi dan membina hubungan yang produktif dengan parti-parti lain.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dilihat menunjukkan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan rakyat Sabah.

“Berkaitan hal pertumbuhan ekonomi, GRS melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merangsang sektor-sektor utama seperti pelancongan dan perikanan,” tambah Nizam.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi Sabah menunjukkan pemulihan yang positif, dengan kadar pertumbuhan negatif 7.5 peratus pada tahun 2020 beransur pulih kepada 1.5 peratus 2021 dan 3.5 peratus 2022 serta 4.0 peratus pada tahun lalu.

“Seandainya kita melihat kepada KDNK negeri meningkat dari RM77.8 bilion pada tahun 2020, kepada RM78.9 bilion pada tahun 2021, dan RM81.9 bilion pada tahun 2023, tidak ada sebab untuk mengatakan kerajaan ini gagal.

“Pada masa ini, kita juga perlu mempertimbangkan banyak projek dalam fasa pembinaan, seperti loji-loji rawatan air (LRA) dan lebuh raya Pan Borneo memberikan impak positif dalam jangka masa pendek dan sederhana,” ujar Nizam.

Katanya, kritikan dilontarkan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas manakala GRS komited membawa kemajuan kepada Sabah dan sedang berusaha untuk mengatasi cabaran yang ada.

“Mari kita bersama-sama berusaha untuk memajukan negeri ini dengan cara yang konstruktif, dan bukannya merosakkan semangat kerjasama yang diperlukan untuk kemajuan Sabah.

“Berkat usaha serta inisiatif dilakukan Kerajaan Negeri, kita berada pada landasan yang betul dan semakin berdaya saing mengikut acuan dan hala tuju Sabah Maju Jaya,” tambah Nizam.