KUNDASANG : Lebih 700 peserta menyertai Larian dan Ekspedisi Motor Lasak serta Motor Empat Roda (Enduro dan ATV Expedition) yang berlangsung di Pekan Kundasang.
Program berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Menteri, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Menurut beliau, penganjuran acara itu bertujuan memperingati tragedi gempa bumi yang berlaku sedekad lalu, dengan kerjasama antara Pejabat Daerah Ranau, Kinabalu UNESCO Global Geopark dan Mesilou Volunteer Club (MEVOC).
“Acara ini diadakan untuk memperingati mangsa dan peristiwa gempa bumi yang berlaku 10 tahun lalu.
“Sambutan daripada para peserta amat menggalakkan, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah dan orang dewasa,” katanya.
Tiga kategori larian telah dipertandingkan iaitu kategori pelajar sekolah (6km), kategori veteran dan kategori terbuka (12km).
Dr. Joachim turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut, termasuk Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; Ketua Penolong Pengarah Taman-Taman Sabah, Justinus Guntabid; dan Presiden MEVOC, Samsul Sinun.
Sementara itu, Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim berkata, sejak tahun 2016, pelbagai aktiviti memperingati tragedi gempa bumi telah dilaksanakan setiap tahun pada 5 Jun.
Antara inisiatif utama termasuklah simulasi penyelamatan dan usaha mempertingkat sistem keselamatan di kawasan bergunung.
“Ini termasuk pengisian utama acara kali ini ialah taklimat keselamatan dan kesiapsiagaan menghadapi gempa bumi yang diadakan di Pentas Budaya Kundasang.
“Selain itu pemeriksaan kesihatan percuma, jualan Rahmah, pameran eko-pelancongan (anjuran MEVOC, MAH, META dan KOPSODIK), Tamu KOPSTAR Bhd serta hadiah pengunjung bertuah bagi hadiah seperti mesin basuh, basikal, barangan elektrik dan hamper,” jelasnya.