Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik, Ketika Mengambil Buah Mangga

PAPAR : Seorang lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengambil buah mangga dalam kejadian di kawasan Kampung Bambangan, Papar di sini petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima laporan jam 3.01 petang tadi menerima maklumat dari orang awam mangsa berumur 42 tahun itu memanjat pokok menggunakan sebatang besi (penjolok besi).

Katanya, penjolok besi yang digunakan mangsa tersentuh pada kabel elektrik berhampiran menyebabkan mangsa terkena rejatan sekali gus tidak sedarkan diri.

“Pasukan Bomba bertindak menurunkan mangsa dari atas pokok menggunakan tangga dan tali penyelamat setelah bekalan elektrik di putuskan oleh pihak Sabah Electricity.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian disahkan oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Rozlan berkata, selepas memastikan keadaan terkawal operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 3.29 petang tadi.