Program perkasa usahawan wanita di Sabah terus jelajah daerah

KOTA KINABALU : Usaha memperkasakan usahawan wanita muda di Sabah diteruskan menerusi penganjuran Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi yang akan berlangsung pada Rabu ini di Dewan Serbaguna Libaran, Sandakan.

Program anjuran Institut Kajian Pembangunan (IDS) dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan itu adalah sebahagian daripada siri jelajah yang kini memasuki lokasi keempat, selepas dilaksanakan di Beaufort, Ranau dan Tenom sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Dr. Ramzah Dambul, berkata program ini dirangka berdasarkan keperluan dan potensi setempat bagi memastikan pendekatannya lebih berkesan kepada kumpulan sasaran.

“Setiap daerah mempunyai latar pembangunan dan cabaran tersendiri. Justeru, kami menyusun kandungan program agar lebih relevan dengan konteks tempatan bagi memberi impak yang lebih besar kepada usahawan wanita muda,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, wanita muda berpotensi besar sebagai penggerak ekonomi peringkat akar umbi dan memainkan peranan penting dalam usaha merapatkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar.

“Kami percaya wanita mampu menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi negeri dan mereka juga memiliki potensi dan kemahiran masing-masing.

“Kita juga melihat golongan wanita mempunyai keupayaan yang signifikan untuk menyumbang secara aktif kepada pertumbuhan ekonomi Sabah,” katanya.

Terdahulu, program itu bakal menghimpunkan kira-kira 600 peserta dari kawasan Libaran dan sekitarnya, menjadikan ia antara penganjuran terbesar dalam siri jelajah setakat ini.

Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian pengalaman bersama tokoh industri dan usahawan wanita berjaya seperti Pengasas Nana Puteri Beauty & Wellness, Masna Osman, dan Pengerusi Koperasi Wanita Berjaya Batu Sapi, Rahimah Asrah.

Turut diadakan ialah sesi bimbingan dan penerangan mengenai Skim Pinjaman DAYANG oleh SCC, selain pendedahan kepada aspek literasi digital – kemahiran penting dalam pengurusan dan pemasaran perniagaan masa kini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Penyelaras Program, Fiona V. Loijon, menerusi emel fiona.loijon@ids.org.my atau di talian 088-450 500.