KOTA KINABALU : Penjaga gol pasukan orang pekak Malaysia, Arezwan Roslan tersenarai antara 10 orang terbaik di dunia dan dia juga nombor satu terbaik di rantau Asia Pasifik.
Penjaga gol pasukan orang pekak Sabah berasal dari Tawau itu menemui jurulatih penjaga gol Sabah, Jasrih Jabidin di padang TABS Sukma apabila dia mengetahui jurulatih itu berada di sana untuk membantu kejurulatihan penjaga gol TABS selepas menamatkan kontrak bersama pasukan Sabah FC B18 musim ini.
Menurut Arezwan yang bertutur menggunakan bahasa isyarat, dia akan menyertai jurulatih Jasrih yang lebih dikenali sebagai coach Jerry untuk membimbing dan melatih penjaga gol muda.
“Ya saya akan hadir di padang TABS ini minggu depan,” katanya yang berusia dalam lingkungan 30-an.
Jasrih yang pernah melatih penjaga gol tersebut, berkata walaupun Arezwan hanya seorang penjaga gol kebangsaan bagi pasukan orang pekak namun ia sangat membanggakan rakyat Malaysia.
“Pencapaiannya (Arezwan) sangat membanggakan kita memandangkan dia antara yang terbaik di dunia,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan pelatih-pelatih penjaga gol muda supaya terus berusaha belajar dari mereka yang berpengalaman supaya mereka boleh menjadi penjaga gol yang baik di masa hadapan.
“Kita pun rasa terharu kerana Arezwan bersedia untuk berkongsi pengalamannya dengan pelatih-pelatih muda,” ujar Jasrih.
