TABS B12, B16 Layak Ke Grand Final Suparimau Di KL Disember ini – Lokman

KOTA KINABALU: Dua pasukan TABS Safa Bandaraya, B12 dan B16 melayakkan diri untuk bertanding di grand final Liga Suparimau di Kuala Lumpur pada 8-9 Disember ini.
Ini susulan kejayaan kedua-dua pasukan itu menjuarai kategori umur masing-masing dalam Liga Suparimau (season A) di Kota Kinabalu awal tahun ini.
Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata kedua-dua pasukan itu akan terus menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi peringkat grand final.
Katanya, ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad dan penolongnya Roslan Wasli dipertanggungjawabkan untuk memantau persiapan pasukan-pasukan tersebut di bawah kendalian jurulatih yang terlibat.
“Ketika ini TABS juga menghantar beberapa pasukan mengikut kategori umur dalam Liga Suparimau (season B) yang sedang berlangsung di sini setiap Sabtu dan Ahad iaitu kategori umur B12, B14 dan B16 selain B10 dan B8,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut beliau, kesemua pasukan mereka menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak liga itu bermula minggu lepas.
“Alhamdulillah, kita berharap pasukan terbabit akan terus melakukan yang terbaik dan mencapai kejayaan,” ujarnya.
Beliau juga berharap pasukan B14 akan meneruskan kecemerlangan mereka dan berusaha untuk menjuarai kategori umur itu bagi melayakkan diri ke grand final di Kuala Lumpur nanti, mengiringingi dua pasukan, B12 dan B16 yang sudah pun menempah tiket ke grand final.
Katanya, setelah mengharungi dua perlawanan, TABS masih mendahului pasukan lain dengan mengutip empat mata diseekori pasukan DF Sabah, Pengalat FC dan TYTC FC.
“Kita boleh melakukannya dan percaya semua pemain mampu menggalas tugas mereka di padang dengan baik selain sentiasa mempraktikkan panduan dan strategi daripada jurulatih mereka,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, TABS B17 dan B8 menjuarai kategori umur masing-masing dalam Fiesta Kaamatan Grassroot Cup anjuran Tuubagu Football Academy yang berlangsung di padang SUKMA dan padang Penampang bersempena sambutan Tadau Kaamatan tahun ini.
Selain itu, pasukan TABS B12 juga menduduki naib juara Kejohanan Liga Bola Sepak Empat Penjuru di Sandakan, baru-baru ini.
Lokman mengucapkan tahniah kepada pasukan terbabit sambil berterima kasih di atas komitmen semua pegawai, jurulatih dan ibu bapa pelatih yang memberi sokongan padu semasa kejohanan tersebut.