KOTA KINABALU: Petronela Douny diumumkan sebagai ketua jurulatih bola sepak wanita B17 kebangsaan yang baharu.
Setiausaha Agungnya, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, ini merupakan satu penghormatan kepada komuniti bola sepak dan rakyat di Sabah.
Katanya, Petronella merupakan satu-satunya jurulatih wanita di negara ini yang memiliki lesen kejurulatihan AFC/FAM A dan ia sekali gus menyumbang kepada pemilihannya untuk menggalas tugas berkenaan.
“Sebagai badan bola sepak negeri, SAFA sentiasa mengorak langkah serta memberi penekanan terhadap pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.
“Ia bukan sahaja untuk melahirkan pemain-pemain yang berkualiti tetapi juga berusaha mewujudkan para jurulatih yang berkebolehan, sebagai contoh usaha untuk menghantar Petronella bagi mengikuti kursus kejurulatihan Lesen A AFC/FAM,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Jelani berkata, usaha ini juga sebagai satu strategi jangka masa panjang pembangunan yang dilakukan badan bola sepak negeri.
Selain itu, katanya, ia termasuk usaha SAFA untuk menghantar jurulatih Jelius Ating untuk mengikuti kursus kejurulatihan Lesen Pro A bagi membolehkan Sabah tidak lagi tercari-cari jurulatih tempatan yang layak menggendalikan pasukan Liga Super pada masa akan datang.
“Kita juga akan menganjurkan kursus jangka panjang dan pendek untuk pembangunan bola sepak di negeri ini selain mengadakan kursus untuk pengadil. Ini bagi menambah baik tahap profesionalisma para pengadil kita,” katanya.