KOTA KINABALU: Sabah FC ‘Yakin’ dapat memperbaiki kelemahan pemain menyempurnakan sepakan penalti dapat diselesaikan segera menjelang perlawanan akan datang.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata sesiapa sahaja mengambil sepakan tersebut harus mempunyai keyakinan tinggi sekali gus dapat menambah jaringan gol pada setiap perlawanan di masa depan.
“Ini penalti agak sukar untuk saya katakan….Saya lihat penonton juga sedih apabila dua sepakan penalti tidak dapat disempurnakan pada malam tadi.
“Adakalanya sepakan ini akan berpihak kepada kita namun kadang-kadang berlaku sebaliknya.
“Tetapi pada perlawanan malam tadi mereka sudah mencuba dan bagi saya apabila kita tidak dapat menyempurnakan penalti kita harus perbaiki lagi di masa depan.
“Pada masa sama keyakinan pada penjaga gol dapat menyelamatkan sepakan tersebut juga menjadi penentu. Jadi ini terpulang dengan situasi apa yang mereka ingin lakukan ketika sepakan penalti berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Kim Swee berkata, beliau memuji persembahan anak buahnya berikutan mempamerkan kualiti permainan begitu baik terutama pada separuh masa pertama namun kehilangan rentak pada separuh masa kedua.
“Kita hilang rentak, kita sangat terlalu mengambil mudah dan ini perlu menjadi satu pengajaran di mana kita mendahului dan kita tak boleh selesa.
“Sri Pahang FC hampir menghukum kita apabila mereka berjaya mendapatkan satu gol malam tadi. Ini sudah tentu menjadi tekanan kepada pasukan kita.
“Mungkin kita bernasib baik dapat mengekalkan serta bertahan dengan begitu baik selepas dibolosi dengan jaringan penalti pihak lawan malam tadi,” katanya.
Kim Swee berkata, Sabah FC akan cuba mengekalkan rentak permainan malam tadi sekali gus akan berusaha memperbaiki kelemahan sedia ada.
“Kita akan kekalkan rentak perlawanan pada malam tadi. Bukan sahaja taiki dan rizal tetapi semua pemain beraksi dengan begitu baik pada separuh masa pertama,” katanya.