KOTA KINABALU : Tunas Asas Bola Sepak Sabah (TABS) akan melakukan persiapan menghadapi Piala Borneo selepas berakhir saingan Liga Suparimau 2024 Musim B yang sedang berlangsung setiap hujung minggu ketika ini.
Naib Pengerusinya, S.A Ramlye berkata, buat masa ini, pasukan mereka masih memberi tumpuan kepada Liga Suparimau yang dijangka selesai dalam beberapa minggu sahaja lagi.
Katanya, sebaik selesai, TABS akan fokus kepada persediaan menghadapi Piala Borneo yang dijadual berlangsung pada September ini.
“Buat sementara, persiapan pasukan kami sekarang lebih tertumpu untuk melakukan yang terbaik dalam saingan Liga Suparimau sebelum mensasarkan persiapan menghadapi Piala Borneo,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pelatih-pelatihnya, pagi ini.
Ramlye berkata, seperti setiap tahun, TABS akan menyertai semua kategori dalam Kejohanan Piala Borneo iaitu B11, B12, B13, B14, B15 dan B16.
“Kami akan menyediakan enam pasukan tersebut dan ia termasuk membuat pemilihan dalam kalangan pelatih-pelatih baharu yang sah berfadtar dengan TABS.
“Memandangkan saingan Piala Borneo nanti membabitkan pasukan-pasukan dari luar negara, TABS akan melakukan nilai tambah kepada pasukan yang sedia ada agar mereka mampu bersaing,” jelas Ramlye.
Menurutnya, TABS akan terus berusaha mengekalkan pencapaian baiknya dalam Piala Borneo kerana ia mencerminkan imej pasukan remaja di negeri ini.
Sementara itu, Naib Pengerusi TABS itu juga memaklumkan bahawa pihaknya sedang merancang untuk menganjurkan karnival bola sepak B12, B10 dan B8 yang besar kemungkinan diadakan selepas berakhir Liga Suparimau atau Piala Borneo nanti.
Katanya, karnival tersebut penting diadakan bagi memberi peluang kepada pelatih-pelatih mendapat pendedahan melalui kejohanan sebenar.
“Selain menjalani latihan setiap hujung minggu di bawah program pembangunan, pelatih-pelatih sedia ada dan mereka yang baharu sewajarnya diberi peluang menyertai karnival sedemikian,” kata Ramlye.
Sehubungan itu, mereka yang berminat mengikuti program pembangunan bola sepak TABS boleh berhubung dengan Setiausaha TABS, Amsir Abdullah di talian 012-8300469 dan Suzana Bibiyantie (016-3133119).